Contoh herba yang sering digunakan untuk rawatan Diabetes Mellitus (DM)
1.Misai kucing
Misai kucing (Orthosiphon stamineus) merupakan sejenis pokok berbunga dan sering ditanam sebagai pokok perhiasan yang seringkali ditemui di taman-taman tempatan kerana kecantikannya.
Misai kucing kini begitu popular dalam kalangan masyarakat Melayu kerana ia digunakan secara meluas dalam bidang perubatan termasuklah rawatan batu karang, gout dan darah tinggi dan diabetes. Eksperimen dengan menggunakan keseluruhan ekstrak misai kucing pada tikus makmal didapati dapat mengurangkan kepekatan glukosa dalam darah kerana tindakannya yang menggalakkan perembesan insulin oleh kalenjar pankreas. Apabila paras insulin meningkat, maka secara tidak langsung paras gula dalam darah akan menurun.
Selain daripada penurunan gula, kajian makmal turut menunjukkan ia mampu menurunkan paras kolesterol dalam pesakit diabetes, sekaligus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular (jantung).
Cara pengambilannya adalah dalam bentuk air rebusan atau teh. Kebiasaannya bahagian yang digunakan adalah daunnya. Manakala bahagian lain pokoknya pula digunakan untuk tujuan rawatan bagi penyakit lain.
Setakat ini kajian–kajian yang dijalankan mendapati bahawa misai kucing tidak memberi kesan sampingan terhadap hati dan buah pinggang selepas administrasi. Namun, kajian selanjutnya perlu dijalankan untuk memastikan keselamatannya jika diambil dalam jangka masa yang panjang.
2. Daun Gymnema Sylvestre
Tumbuhan gurmar (Gymnema sylvestre) berasal dari hutan dan padang rumput di bahagian selatan India. Daunnya sudah digunakan berabad lamanya untuk mengawal diabetes dan kini ekstrak daunnya telah menjalani banyak kajian makmal yang menunjukkan kesan positif terhadap penurunan paras gula dalam darah.
Dalam bahasa Hindi, perkataan ‘gurmar’ membawa maksud ‘pemusnah gula’ kerana tindakannya yang menghalang rasa manis dalam makanan dan mengurangkan selera makan. Kesan ini bertahan selama 1-2 jam selepas pengambilan.
Selain itu, ia juga didapati mampu menggalakkan perembesan insulin dari kalenjar pankreas serta menghalang penyerapan gula di usus.
Kini, ia sedang giat dikaji oleh saintis dan pengamal Ayurveda dan dihasilkan dalam bentuk tablet sebagai alternatif bagi rawatan diabetes.
Dos yang disyorkan ialah 200-250mg 2 kali sehari.
3. Halba
Halba atau Trigonella foenum graecum merupakan sejenis tanaman herba yang sangat meluas penggunaannya dalam bidang perubatan sehinggalah ke bidang masakan. India merupakan pengeluar halba terbesar dunia di samping Mesir, Turki, Sepanyol dan China.
Kegunaan halba dalam mengawal diabetes ini telah dikaji terhadap tikus makmal dan juga manusia. Dalam salah satu kajiannya, didapati bahawa seramai 60 orang pesakit yang mengambil halba 25g sehari menunjukkan penurunan paras gula yang signifikan dan ia mampu menghalang kenaikan paras gula selepas makan.
Ia didapati mengandungi asid amino yang menggalakkan perembesan insulin dan meningkatkan sensitiviti insulin.
Dos yang disyorkan ialah 5-30g tiga kali sehari atau 15-90g sekali sehari.
Sumber: http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/pengubatan-alternatif-a-komplementari-bagi-diabetes-mellitus
No comments:
Post a Comment